Kata-kata Aluan
Bismillahirrahmannirahim. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam Sejahtera
Selamat datang ke laman portal rasmi Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA (PKP). Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana saya diberikan kesempatan untuk memberikan kata aluan di dalam Laman Portal PKP.
Seperti diketahui umum, PKP beroperasi di tiga cawangan kampus iaitu di Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut yang terbuka untuk warga UniSZA. Secara rasminya, Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA (PKP) mula ditubuhkan pada 4 April 2009. Justeru, banyak perubahan yang perlu dilaksanakan seperti mana yang telah disarankan oleh Naib Canselor UniSZA, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Bin Awang Mat Dahan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan di Pusat Kesihatan Pelajar. Oleh yang demikian, kami memerlukan cadangan dan sokongan semua pihak bagi membangunkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang terbaik kepada komuniti UniSZA.
Maklumat semasa dan perkembangan terkini yang menggabungkan teras utama PKP iaitu perkhidmatan perubatan, pengajaran dan penyelidikan amat penting untuk disebarluaskan sebagai langkah ke hadapan untuk membolehkan komuniti UniSZA mengetahui peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh PKP dalam meningkatkan tahap kecemerlangan sama ada di peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa. Jadikanlah laman web ini sebagai medium terbaik untuk mendapatkan maklumat pelbagai aktiviti serta perkembangan PKP.
Bagi merealisasikan hasrat ini, saya juga menyeru kepada semua warga PKP agar dapat menyalurkan maklumat kepada webmaster untuk dipaparkan di laman web PKP. Saya berharap semua webmaster sentiasa mengemaskini maklumat yang diperolehi supaya laman web ini akan lebih interaktif dan berinformasi.
Pihak Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Naib Canselor UniSZA, Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Bin Awang Mat Dahan serta pihak Pengurusan UniSZA kerana telah mentransformasikan penubuhan PKP. Semoga perkhidmatan yang diberikan mampu menjana kesihatan yang optimum kepada warga UniSZA terutamanya para pelajar dan staf UniSZA supaya dapat melahirkan modal insan yang sihat sepanjang hayat.
Sekian, terima kasih.
"ILMU DAN AKHLAK"
"KESIHATAN MENJANA MINDA"
PROF. MADYA DR. MOHD. SHAFIEE BIN HAMZAH
Pengarah Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar UniSZA